KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus berkerjasama rapat dengan kerajaan Kelantan bagi melaksana pelbagai projek berimpak tinggi serta program pembangunan modal insan untuk negeri tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia adalah sebahagian daripada strategi Kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta serta memperkasa rakyat.
Menurutnya, sejak penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2007 sehingga 31 Ogos 2017, Kelantan telah menarik RM12.7 bilion pelaburan swasta dan mewujudkan lebih 14,000 pekerjaan.
"Pertumbuhan pelaburan di Kelantan dijangka meningkat seiring dengan pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur," katanya pada pelancaran Pesta Kerjaya dan Keusahawanan Kelantan 2017 baru-baru ini.
Pesta yang dianjur ECERDC itu bertujuan membolehkan pencari kerja merebut 3,300 pekerjaan yang ditawarkan 40 pelabur tempatan dan asing daripada pelbagai sektor, termasuk pembuatan, hartanah dan logistik serta peluang keusawahanan di ECER.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, pekerjaan yang ditawarkan pada pesta itu membuktikan transformasi di ECER, termasuk Kelantan, benar-benar berlaku.
"Wilayah itu menjadi semakin dinamik dan kompetitif dengan lebih banyak pelabur swasta menawarkan pekerjaan di pelbagai sektor untuk rakyat Kelantan.
"Ia seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat serta mewujudkan sosio-ekonomi yang inklusif dan mampan di ECER," katanya.
Sumber: Bernama | 11 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan