Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 12 Oktober 2017

Aksem Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM1.1 juta

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan merampas 8,250 karton rokok putih yang diseludup bernilai RM1.1 juta termasuk anggaran cukai di Kampung Bahagia, Jerteh, Terengganu. 

Komander Aksem Kelantan Mohd Asri Yahya berkata kesemua rokok berkenaan yang dimuat di dalam sebuah lori yang dirampas pada 7 pagi, dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran Terengganu dan Pahang. 

Beliau berkata sepasukan anggota Aksem mengesan lalu mengekori lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki di kawasan Pantai Senok, Bachok dan apabila menyedari diekori oleh anggota Aksem, pemandu itu kemudian memecut lori menghala ke Terengganu .

"Sebaik tiba di persimpangan Kampung Bahagia, Jerteh iaitu 50 kilometer dari Pantai Senok, pemandu itu memberhentikan lori di bahu jalan sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di Pejabat Aksem Kota Bharu di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata pemeriksaan ke atas lori tersebut menemukan puluhan kotak mengandungi rokok seludup yang kemudian diserahkan ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Asri berkata Aksem akan mengadakan operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini. 

Katanya tumpuan diberikan terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan pendatang tanpa izin, barang larangan, barang kawalan dan barang bercukai. 

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan tersebut.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan