KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM17 juta bagi menjalankan projek menangani hakisan pantai di Pantai Kundur dan Pantai Mek Mas di sini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata projek sepanjang tiga kilometer dijangka bermula seawal Februari tahun depan dengan proses tawaran tender dibuat bulan depan.
"Sebelum ini kita telah melaksanakan projek kecemasan di kawasan berkenaan selepas melakukan kajian berikutan kedua-dua pantai berkenaan terhakis dengan teruk sehingga memusnahkan rumah penduduk sejak 2010.
"Justeru, sebagai langkah jangka panjang, kita akan melaksanakan projek hakisan ini yang mengambil masa antara 12 hingga 18 bulan bagi menangani masalah tersebut daripada berulang," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek hakisan pantai di Pantai Cahaya Bulan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha di sini, hari ini.
Wan Junaidi berkata skop projek berkenaan membabitkan antaranya penambakan pasir serta pembinaan lapis pindung batu.
Wan Junaidi dalam masa sama turut memaklumkan, Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang sedang dirangka dijangka dapat digunakan pada hujung tahun ini.
Menurut beliau, sistem berkenaan yang dipasang di kawasan hulu di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan kos RM15 juta itu boleh memberi amaran kepada pasukan penyelamat sekurang-kurangnya dua hari sebelum banjir melanda.
Sementara itu, Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan yang diedarkan kepada media kemudian berkata, Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dilaksanakannya menerusi JPS pada 2015 bagi menilai dan meneliti isu hakisan pantai secara menyeluruh telah siap.
"Hasil kajian tersebut mendapati 15.3 peratus daripada keseluruhan 8,840 km panjang pantai di negara ini mengalami hakisan dengan Kelantan menghadapi masalah hakisan paling serius.
"Panjang keseluruhan pantai di Kelantan adalah 179.5 km dengan 19.8 km (11 peratus) daripada pantai tersebut telah mengalami hakisan dengan Pantai Pulau Kundur dan Pantai Mek Mas merupakan yang teruk terjejas apabila terhakis antara 10 dan 18 meter setahun," demikian menurut kenyataan tersebut.
Sumber: Bernama | 18 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan