Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 Oktober 2017

3,000 banjiri Konsert Amal Untukmu Megat Nordin

Sebahagian daripada peminat yang hadir ke konsert amal untukmu Megat Nordin di Pasir Tumboh, Kota Bharu.
KOTA BHARU: Lebih 3,000 peminat membanjiri Konsert Amal Untukmu Megat Nordin anjuran Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (Pakkak) di Tapak Bazar Larut Malam (Uptown) Pasir Tumboh di sini malam ini.

Presidennya, Mohamad Aswady Adenan berkata, konsert amal itu bagi mengumpul dana membantu meringankan beban penggiat dikir barat itu yang disahkan menghidap penyakit kanser hati tahap empat.

"Kesemua kutipan derma ini akan disalurkan secara terus kepada keluarga Megat Nordin. Ini merupakan sebahagian daripada sokongan Pakkak kepada penggiat dikir barat itu.

"Kita sasarkan kutipan sebanyak RM4,000 dan ia mampu dicapai selepas melihat kedatangan peminat yang diluar jangkaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad Aswady memberitahu, pihaknya sama sekali tidak menjangkakan sambutan luar biasa memandangkan konsert tersebut dirancang dalam tempoh yang singkat.

Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusuf,55, kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Dalam kerjaya seninya itu, Megat Nordin pernah mengadakan persembahan dikir barat di hadapan masyarakat London sempena Minggu Malaysia 2007.

Antara lagunya yang menjadi siulan ialah Ambo Ghaso Berkene, Tinggalah Kasih, Hidup Usia Remaja, Hajat Tak Sampai, Begapo dan Tunggu-tunggu Tok Kelik.

Album-album Megat Nordin yang dihasilkan dalam bentuk kaset itu juga pernah terjual sehingga ratusan ribu unit.

Aktif berdikir barat sejak 1980, Megat Nordin membuat lonjakan terhadap kerjaya seninya dengan menyertai rancangan Kilauan Emas pada tahun 2014.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 20 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan