Datuk Hasanuddin memotong pulut kuning sebagai gimik
perasmian program tersebut.
|
GUA MUSANG: Polis Kelantan memburu lebih 1,000 orang yang dikehendaki (wanted person) yang sehingga kini masih bebas bagi menyelesaikan kes-kes jenayah dalam pelbagai jenis kesalahan.
Ketua Polis, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam jumlah itu, kes samun menjadi jenayah terbanyak di mana majoriti daripadanya adalah mereka yang dikehendaki.
"Kita sedang menjalankan operasi besar-besaran bagi memburu mereka yang dikenal pasti. Namun, bukan semuanya berada di Kelantan kerana saya dimaklumkan, ada yang sudah melarikan diri dan berada di luar negeri.
"Namun begitu, kita tetap memburu mereka dengan bantuan anggota di seluruh negeri. Majoriti daripadanya adalah berkaitan dengan kes samun. Lain-lain adalah pecah rumah dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Taman Angkat Aman Wanita (Amanita) peringkat Kontinjen Kelantan Tahun 2017 di Taman Damar Kesedar Jaya, di sini.
Turut hadir, Adun Galas, Ab Aziz Yusoff dan Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff.
Tambah Hasanuddin, beliau amat mengalu-alukan kerjasama di kalangan masyarakat dalam mengesan orang yang dikehendaki ini.
"Jika ada terlihat individu yang mencurigakan, salurkan maklumat kepada pihak berkuasa. PDRM juga mempunyai simpanan rekod.
"Pun begitu, jangan pula pandai-pandai tangkap sendiri kerana mereka ini kemungkinan memiliki senjata api dan boleh membahayakan keselamatan orang ramai. Laporkan kepada kami dan kami akan bertindak," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan