KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Kelantan akan memburu majikan yang gagal memperbaharui permit pekerja asing mereka menerusi Ops Ikrar bulan depan.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi akan melibatkan Jabatan Tenaga Kerja, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
Ops Ikrar dilancarkan berikutan didapati ada majikan di negeri ini menggunakan tenaga kerja asing dengan permit kerja sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui oleh majikan, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata majikan yang didapati mengeksploitasi pekerja asing adalah melakukan kesalahan berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
"Jika sabit kesalahan majikan boleh dihukum penjara, denda atau sebatan selain pendakwaan boleh dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasaan 2001," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan majikan supaya memperbaharui permit pekerja mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tarikh tamat.
Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan