Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 Oktober 2017

Cadangan pembangunan Bandar Riadah Kelantan hanyalah gimik?

Husam menunjukkan pelan pembangunan Bandar Riadah Kelantan pada sidang media baru-baru ini.
RETORIK atau realiti? Cerita pembinaan bandar pembangunan sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh bukan perkara baharu bahkan sudah kedengaran selepas kerajaan Kelantan mengumumkan pelaksanaannya, sejak enam tahun lalu.

Walaupun majlis pecah tanah dan peletakan batu asas telah disempurnakan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat, pada 30 Mac 2013, namun impian rakyat Kelantan untuk menyaksikan mercu tanda baharu itu tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini.

Kali ini, selepas lebih empat tahun projek itu gagal dibangunkan, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa tampil dengan idea merangka pelan pembangunan baharu di tapak yang sama tetapi diberi nama lain iaitu Bandar Riadah Kelantan (Kelantan Riadah City) di atas tanah seluas 323 hektar itu.

Konsep utama yang menjadi asas pembinaan Bandar Riadah Kelantan itu menggariskan enam elemen utama iaitu (1) rekreasi, (2) institusi dan industri, (3) kemudahan penginapan, (4) digital, (5) seni, kraf dan budaya serta (6) kesihatan dan hospitaliti. 

Persoalannya, sejauh mana kemampuan Husam merealisasikan pembangunan fizikal terbesar di Kelantan sedangkan kerajaan negeri sendiri gagal menunaikan janji mereka, sebelum ini.

Gimik politik pilihan raya

Bagi Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) melihat tawaran tersebut tidak ubah seperti gimik yang sering dicanangkan parti politik lebih-lebih lagi pilihan raya semakin dekat.

Presidennya, Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, dari satu sudut idea itu amat bagus namun pada masa sama beliau berharap cadangan tersebut tidak hanya tertulis di atas kertas semata-mata. 

Menurutnya, apa yang dicetuskan bekas Naib Presiden Pas itu tidak lebih sekadar mengalih perhatian di samping mahu menunjukkan kepada kerajaan sedia ada bahawa Amanah bersedia membawa kemajuan sekiranya diberi peluang memerintah negeri ini.

Dari segi perancangan sudah gagal apatah lagi hendak laksanakan. Ketika ada kuasa dahulu pun Husam tak mampu buat sementelah sekarang beliau berada di luar (kepimpinan kerajaan negeri).

“Kalau betul nak buat mesti ada satu kerangka atau dasar yang jelas, nak buat satu bandar yang lengkap dengan stadium, pusat perniagaan, pusat sukan air, hab halal, apartmen dan lebih 10 kemudahan lain di situ memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Mohamad Zaidan turut mempersoalkan kewajaran pemimpin Amanah mahu membangunkan Bukit Merbau sedangkan kawasan itu sebenarnya terletak jauh dari ibu negeri Kelantan.

Kalau betul-betul nak bangunkan, stadium (Stadium Sultan Muhammad IV) sekarang pun kerajaan negeri boleh naik taraf termasuk kawasan persekitarannya. Ini tidak, benda (gelanggang tenis) yang ada berhampiran stadium itu pun sudah hilang,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan (MBK), Mohd Syahbuddin Hashim menyifatkan cita-cita Husam mahu membina Bandar Riadah Kelantan tidak ubah angan-angan mat jenin.

Stadium impian: Cadangan lakaran stadium yang mahu dibina
Menurutnya, ketidakupayaan melaksanakan Koridor Depu, projek ternakan kambing Jamnapari dan Kompleks Sukan Bukit Merbau itu sendiri sebelum ini adalah simbol kegagalan Husam ketika berada dalam kepimpinan kerajaan negeri, tidak lama dahulu.

“Rekod lampau Husam sudah cukup membuktikan bahawa beliau lebih banyak dan suka berjanji daripada menunaikan janji-janjinya itu.

Malah kalau anda sendiri masih ingat sebelum PRU13, beliau cadang nak buat kereta api laju, di mana projek itu sekarang,” soalnya.

Tambahnya, biarpun cadangan tersebut dilihat sangat baik dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial negeri ini namun pihaknya bersikap prejudis terhadap kemampuan beliau.

“Saya fikir semua ini hanya bertujuan pancing undi orang muda. Mungkin ideanya ini terkandung dalam manifesto partinya tetapi lebih elok Husam tengok perkara lain yang lebih besar seperti faktor kekurangan pekerjaan, pemilikan rumah dan kenapa rakyat negeri ini terpaksa merantau ke negeri lain,” katanya.

Idea Husam sukar direalisasikan

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, adalah fakta bahawa Husam gagal melaksanakan idea pembinaan Stadium Bukit Merbau dan pelbagai rancangan lain sewaktu beliau masih berada dalam parti itu.

Beliau yakin rakyat Kelantan tidak akan mudah menelan tawaran Bandar Riadah Kelantan yang diumumkan oleh Husam kerana sejarah kegagalan beliau dalam Pas sebelum ini.

Menurutnya, tidak berbangkit soal Kerajaan Kelantan tidak memberi peluang kepada Husam melaksanakan idea itu dengan menamatkan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri kerana tanpa jawatan exco pun dia masih boleh berbuat demikian jika dia mahu.

Dakwaan Husam bahawa Kerajaan Kelantan tidak meneruskan program ini untuk menggagalkan beliau sukar diterima umum kerana apa yang berlaku selepas PRU13 ialah beliau sendiri yang menjauhkan diri dari Kerajaan Kelantan.

“Husam bukan menjadi exco kerajaan negeri biasa tetapi exco kanan dan bukan untuk suatu tempoh yang singkat kerana beliau memegang jawatan itu selama dua penggal, iaitu antara tahun 2004 ke tahun 2013.

Jika Husam benar-benar ikhlas dan mampu, sudah tentu banyak program beliau boleh buat dalam tempoh itu tetapi realitinya hanya setelah beliau tidak memegang jawatan exco barulah beliau bercakap mengenai pelbagai reformasi pentadbiran yang beliau mahu lakukan.

Program pembinaan Stadium Bukit Merbau itu sendiri pun diumumkan sejak tahun 2011 lagi tetapi malangnya sehingga PRU 13 pun tiada sebarang perkembangan positif yang Husam mampu berikan kepadanya,” katanya.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Husam kelmarin bahawa beliau telah pun menemui rakan-rakan yang terdiri daripada arkitek untuk melihat perancangan pembinaan Bandar Riadah Kelantan atau Bandar Sukan Kelantan (Kelantan Sports City) dengan berpandukan konsep yang lebih besar, bukan sekadar stadium untuk bersukan semata-mata.

Kata Husam, beliau akan kemukakan cadangan ini kepada anak-anak Kelantan dan Pemuda Parti Pakatan Harapan terlebih dahulu sebelum ia ditentukan untuk menjadikan tawaran Pakatan Harapan selepas ini.

“Idea ini sukar diterima rakyat kerana melibatkan beliau sendirian sahaja berbanding waktu dalam Pas beliau menjadi pemimpin kepercayaan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Adalah lebih baik jika Husam dan pemimpin Amanah lain memperkatakan mengenai program-program biasa yang lebih mampu menggamit perhatian rakyat marhaen berbanding program besar yang hanya akan menjadi bahan gelak ketawa orang,” katanya.

Dalam pada itu tinjauan orang ramai menyambut baik cadangan Husam itu, tetapi rata-rata mereka mahu ia idea itu praktikal sesuai dengan keadaan semasa termasuk isu kewangan.

Beri peluang, fikir positif 

Bagi pesara tentera Moha Ayub Ahmad berkata, umum mengetahui prasarana sukan di Kelantan sangat ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, beliau melihat Husam sebagai pemimpin yang idealis tetapi sering kali terperangkap dengan cadangan beliau sendiri. 

“Saya suka cara Husam berfikir, beliau jauh ke hadapan dengan idea yang menarik, tetapi bagi saya kita kena praktikal, ukur baju di badan sendiri,” katanya.

Sementara itu bagi peniaga dari Kota Bharu, Jazlan Mohammad, mahu orang ramai melihat cadangan Husam itu secara positif.

“Kalau kita fikir tidak boleh, selama lamanya tidak boleh, contohnya isu Lebuh Raya Kota Bharu -  Kuala Krai, siapa yang mengilhamkan idea pembinaan itu,

“Walaupun perlaksanaan itu tidak dapat dilakukan (Husam) sekurang kurangnya ia adalah usaha pertama ke arah pembinaan lebuh raya itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan