KOTA BHARU: Sebanyak 5,000 peserta dijangka menyertai acara berjalan kaki bagi meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara, 'Pink Walk' sejauh 4.5 kilometer pada 21 Oktober depan, di sini.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk program Initiative Awareness Ceremony (Pink Ribbon Raising) OKB Hospis 2017 tersebut Datuk Dr Imi Ab Hadi berkata 100 pesakit kanser juga akan menyertai acara itu.
Program julung kali itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Persatuan Hospis Kelantan dan Unit Penyelidikan dan Kesedaran Payu Dara (Bestari) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu di sini, hari ini.
Dr Imi yang juga Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) berkata program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai berkaitan bahayanya kanser payudara sekiranya tidak dirawat pada peringkat awal.
"Di Kelantan berdasarkan kepada kajian pihak kami mendapati 54 peratus wanita yang menghidapi penyakit tersebut (kanser payudara) datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah penyakitnya berada di tahap keempat (kritikal).
"Peringkat itu tidak banyak rawatan dan bantuan yang boleh dilakukan berbanding sekiranya mereka berada pada tahap satu dan dua," katanya.
Dr Imi berkata peratusan itu menunjukkan kesedaran orang ramai tentang penyakit itu di negeri ini amat tidak memuaskan dan oleh itu kempen kesedaran perlu dipergiatkan kepada masyarakat.
"Masyarakat juga seharusnya mengetahui ketika ini penyakit kanser payudara tidak mengenal usia apabila pihak kami pernah menerima seorang pesakit berusia seawal enam tahun," katanya.
Sumber: Bernama | 30 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan