Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 6 Oktober 2017

Ratusan usahawan Kelantan dapat manfaat melalui ECER

KOTA BHARU: Ratusan usahawan di Kelantan mendapat manfaat daripada pelbagai projek yang dilaksanakan melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata projek berimpak tinggi itu termasuk dalam sektor perkhidmatan, pengangkutan, pembuatan, pembinaan dan program pembangunan modal insan.

"Kerajaan Persekutuan telah memperuntukan sebanyak RM1 bilion kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk melaksanakan projek pembangunan seperti menyediakan infrastruktur, bekalan air, projek agropolitan dan program pembangunan modal insan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Usahawan Kelantan 2017 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata kewujudan peluang perniagaan tersebut telah merangsang banyak peluang pekerjaan untuk rakyat khususnya golongan muda di negeri ini.

Beliau berkata ECERDC dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) akan terus membangunkan negeri ini bagi menarik minat pelabur di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, semasa berucap pada majlis tersebut, berkata lebih 26,000 rakyat Kelantan mendapat manfaat daripada program pembangunan modal insan yang dilaksanakan oleh pihaknya.

Beliau berkata ECERDC akan terus melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi dan program pembangunan modal insan di negeri ini sebagai strategi untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta.

"(Sejak ECER diwujudkan pada 2007) Sehingga 31 Ogos lepas, Kelantan berjaya menarik sebanyak RM12.7 bilion pelaburan swasta serta mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.

Karnival selama dua hari bermula hari ini, menghimpunkan 40 syarikat pelaburan tempatan dan asing daripada pelbagai sektor menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada pengunjung yang dianggarkan seramai 10,000 orang.

Sementara itu, mengenai Bajet 2018, Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, berharap projek pembangunan sosial akan diberikan keutamaan untuk dilaksanakan di negeri ini bagi mewujudkan kesejahteraan rakyat.

Beliau juga berharap projek yang dirancang untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di negeri ini seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Sumber
: Bernama | 5 October 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan