Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 9 Oktober 2017

309 peniaga setuju pindah ke Pasar Siti Hajar

PASIR PUTEH: Sebanyak 309 daripada 516 peniaga yang berniaga di Pasar Besar Pasir Puteh, bersetuju untuk berpindah ke Pasar Siti Hajar bermula Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Mohd Anis Abdul Rahman berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara pihak berkuasa tempatan berkenaan dan kumpulan peniaga terbabit hari ini.

"Dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini, peniaga berkenaan meminta kami menambah baik beberapa kemudahan di Pasar Siti Hajar dan kami menunaikan hasrat mereka itu.

"Kami membelanjakan RM2.3 juta untuk penambahbaikan berkenaan melibatkan bekalan air dan elektrik," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Anis berkata sebaik sebahagian besar peniaga terbabit berpindah ke tempat baharu, pihaknya akan mengosongkan kemudahan yang ada dalam Pasar Besar Pasir Puteh termasuk memotong bekalan elektrik dan air.

Beliau turut optimis baki peniaga yang masih menjalankan perniagaan di tapak lama akan turut berpindah ke Pasar Siti Hajar dalam masa terdekat.

Sebelum ini, peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke pasar baharu dibina MDPP itu dengan alasan ruang niaga yang sempit dan tidak dilengkapi dengan kemudahan asas secukupnya.

Selain itu, mereka juga mendakwa pasar baharu itu yang terletak hampir satu kilometer dari pasar lama tidak strategik dan jauh daripada kediaman penduduk.

Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan