Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Oktober 2017

KRT Kelantan dijenama semula, lebih pantas bantu masyarakat

PASIR PUTEH: Sebanyak 455 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan keanggotaan lebih 12,000 orang di seluruh Kelantan akan dijenamakan semula agar lebih pantas memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Salasiah Hashim berkata setiap KRT akan diberi kuasa lebih besar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti di kawasan masing-masing.

"Pemimpin di setiap KRT boleh mengisi cadangan program kegiatan mereka secara atas talian untuk mendapatkan kelulusan dan peruntukan bagi melaksanakan kegiatan tanpa perlu lagi datang ke jabatan," katanya kepada pemberita pada Pesta Etnik dan Kebudayaan Sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Daerah Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal di sini, hari ini.

Beliau berkata setiap KRT yang aktif akan diberi peruntukan tetap tahunan sebanyak RM6,000 bagi tujuan pengurusan termasuk membeli peralatan pejabat.

Mengenai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir di Kelantan, Salasiah berkata Skuad Uniti telah ditubuhkan di kesemua 10 jajahan di negeri itu bagi membantu masyarakat.

Katanya setiap Skuad Uniti mempunyai lebih 20 anggota yang dilatih khas untuk melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir dan pelbagai tugas lain di pusat pemindahan banjir.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan