Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Oktober 2017

4 lokasi baharu MARA Digital dikenal pasti termasuk Kelantan

KUALA LUMPUR: Empat lagi lokasi baharu sudah dikenal pasti untuk meluaskan rangkaian pusat teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) Bumiputera, MARA Digital ke seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan MARA Digital itu membabitkan Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang mengadakan rundingan bersama usahawan di negeri berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Usaha melalui MARA Digital boleh dianggap buat masa sekarang adalah langkah awal bagi membantu usahawan Bumiputera dalam sektor teknologi maklumat.

"Ramai usahawan Bumiputera terbabit dalam ekonomi digital. Ia bukan sekadar bilangan, kita mahu tekankan kualiti, kepandaian dan inovasi usahawan berkenaan dalam bidang ICT.

"Hasrat kerajaan melalu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasakan usahawan digital bukan hanya mahu wujudkan pusat gajet itu di 14 buah ibu negeri, tetapi juga ingin meluaskan di daerah-daerah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) berhubung jumlah peniaga serta jumlah transaksi perniagaan bagi MARA Digital sejak ditubuhkan pada penghujung tahun 2015.

Mengulas transaksi itu, Nanta berkata, sehingga kini terdapat empat buah MARA Digital yang sudah beroperasi.

Beliau berkata, cawangan pertama MARA Digital di Menara MARA, Kuala Lumpur, meraih jualan RM26 juta sejak dibuka 8 Disember 2015.

"Bagi MARA Digital di Anggerik Mall Shah Alam, cawangan kedua itu meraih nilai jualan sebanyak RM2.3 juta.

"MARA Digital yang terletak di Ipoh, Perak dan Kuantan, Pahang tiada sebarang rekod jualan kerana masing-masing baru sahaja dibuka pada 12 Oktober dan 29 Oktober 2017," katanya.


Manfaat di bawah MARA Digital:-

  • Penyediaan ruang niaga komprehensif dan strategik.
  • Kadar sewa berpatutan termasuk diberi tempoh 'bernafas' selama enam bulan.
  • Setiap usahawan diberi tempoh keusahawanan daripada pelbagai aspek.
  • Promosi berkala melalui pelbagai medium dan kerjasama.
  • Tawaran produk tulen pada harga berpatutan.
  • Kemudahan pembiayaan kepada usahawan yang memenuhi syarat. 

Sumber: Berita Harian Online | 30 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan