KOTA BHARU: Langkah meneruskan pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang dapat memendekkan waktu perjalanan selain merancakkan pertumbuhan ekonomi di jajaran terbabit.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata pertumbuhan ekonomi itu disokong menerusi kemudahan komunikasi yang bakal dibina sepanjang Lebuh Raya CSR.
"Bila ada jalan raya baharu, ia akan membolehkan lebih banyak pusat perniagaan dibina sekali gus menyumbang kepada peningkatkan bilangan penduduk di kawasan terbabit.
"Bagi jangka masa panjang pula, ia akan membantu pembangunan bandar-bandar kecil walaupun mungkin mengambil masa untuk direalisasikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau mengulas peruntukan RM230 juta bagi meneruskan pembinaan Lebuh Raya CSR dengan jarak 390 kilometer yang menghubungkan Pahang dan Kelantan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM55 juta bagi subsidi pengangkutan luar bandar bermula dari Gua Musang ke Tumpat.
Zulkifli berkata secara keseluruhannya bajet inklusif yang dibentangkan Perdana Menteri mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat.
Sumber: Bernama | 27 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan