Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 28 Oktober 2017

Yayasan Bank Rakyat komited tingkat pendidikan Orang Asli

GUA MUSANG: Yayasan Bank Rakyat komited dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai program anjuran yayasan tersebut.

Pengurus Pembangunan Program Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat itu pihaknya melaksanakan pelbagai program secara holistik bagi menarik minat murid orang Asli hadir ke sekolah.

"Program peningkatan pendidikan Orang Asli termasuk daripada 500 program sosial pihak kami yang dilaksanakan setiap tahun," katanya kepada Bernama pada Program Program Jalinan Mesra Martabatkan Murid Orang Asli Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke hari ini.

Mohd Mukhti berkata program jalinan mesra tersebut yang diadakan di sekolah yang terletak di kawasan pedalaman selama tiga hari bermula semalam itu turut melibatkan 15 orang sukarelawan univesiti tempatan.

"Melalui program tersebut, pihak kami mahu membawa pembelajaran yang menarik dan kreatif bagi menarik minat mereka (murid Orang Asli) yang bersesuaian dengan pembelajaran pada abad ke-21.

"Kita terapkan keadaan pembelajaran secara interatif di luar bilik darjah bagi membantu meningkatkan minat, pengetahuan, personaliti serta membuka minda mereka ke sekolah dan minat kepada pembelajaran," kata Mohd Mukhti.

Beliau berkata program seumpana itu adalah sokongan yayasan tersebut terhadap tugas Kementerian Pendidikan, sekolah dan guru memberikan pendedahan serta meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli.

"Kami akan adakan dua atau tiga program setiap tahun bersama mereka selain daripada program yang melibatkan ibu bapa mereka (orang Asli) supaya dapat kami memberikan penerangan berkaitan kepentingan pendidikan," katanya.

Guru Besar SK Pos Brooke, Norhayati Yusuf berkata program tersebut memberikan kesan yang positif kepada pihaknya dalam membentuk semangat 300 orang murid Orang Asli untuk ke sekolah.

"Walaupun ianya program jangka pendek namun saya melihat ianya sangat bagus kerana murid-murid di sini kurang berkeyakinan tinggi, rendah diri dan pemalu apabila berada dalam komuniti masyarakat lain selain ketika proses pembelajaran," katanya.

Beliau berharap kaedah yang diterapkan pada program ini dapat digunakan oleh 30 guru di sekolah tersebut untuk menarik minat pelajar ke sekolah.

Katanya tahap pendidikan di sekolah tersebut adalah 80 peratus manakala pencapaian akademik pada tahap sederhana.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan