KOTA BHARU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkankan Makmal Data Raya di kesemua 13 cawangannya di seluruh negara bagi memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata makmal tersebut yang menggunakan teknologi terkini juga untuk menangani limpahan data berstruktur dan tidak berstruktur supaya analisis berskala besar dapat dilakukan dengan lebih sistematik.
"Dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya keperluan memenuhi kursus-kursus yang melibatkan penggunaan Data Raya membolehkan pelajar dan pensyarah memanfaatkan Makmal Data Raya ini sepenuhnya ke arah melahirkan graduan berdaya saing pada peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu UiTM cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan pelancaran Makmal Data Raya seluruh sistem UiTM di sini, hari ini.
Makmal tersebut adalah inisiatif terkini Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan pakar analitik data dalam memenuhi pasaran pekerjaan masa depan serta mempunyai bakat dan sumber yang mencukupi untuk membangunkan negara seiring dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Idris berkata pembangunan makmal tersebut akan menjadikan sistem pendidikan tinggi di negara ini bergerak seiring dengan aspirasi negara untuk bersaing dengan negara luar dalam melahirkan pakar teknologi maklumat bertaraf global.
Beliau berkata UiTM menunjukkan keupayaan untuk melangkah jauh ke hadapan dengan membangunkan keperluan fizikal bagi menampung lebih ramai lagi anak bumiputera menimba ilmu dan teknologi terkini.
Dalam pada itu, beliau berkata bangunan baharu UiTM Kampus Kota Bharu di Lembah Sireh di sini, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan terkini bagi melonjakkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Kampus tersebut sebelum ini beroperasi lebih 10 tahun di Jalan Sultan Ibrahim di sini, menawarkan program sepenuh masa dan separuh masa untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Sumber: Bernama | 29 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan