Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 Oktober 2017

Pas tidak tunai janji mereka - Fatmi

KOTA BHARU: Dakwaan Pemuda Pas Kelantan bahawa Umno negeri bercakap besar menggunakan modal lapuk bagi berkempen PRU14 disifatkan sebagai strategi Pas setelah mereka gagal melaksanakan program untuk rakyat.

Bendahari Umno negeri, Tan Sri Muhamad Fatmi Che Salleh berkata, Pas seharusnya berpijak di bumi yang nyata apabila mereka sendiri gagal menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, antara projek Pas yang masih menjadi persoalan ialah jambatan Palekbang, Tumpat, Stadium Bukit Merbau, projek Pokok Depu, projek Janapari dan banyak lagi yang tidak mendapat penjelasan.

"Sedangkan Pas sudah lama memerintah negeri ini tetapi rakyat masih keliru," katanya ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa beliau tidak perlu cakap besar dengan menggunakan modal lama untuk berkempen dalam menghadapi PRU14.

Sebelum ini Fatmi dalam kenyataannya berkata kerajaan negeri dilihat menganaktirikan Kelantan apabila banyak janji yang dibuat sehingga kini masih belum ditunaikan.

Fatmi menjelaskan, rakyat perlu tahu sejauh mana kejayaan yang dicapai berhubung dengan projek yang dilaksanakan oleh Pas dalam tempoh 27 tahun memerintah negeri ini dan apa sudah jadi dengan projek lebuh raya yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu di mana masih menjadi persoalan kepada rakyat.

"Umno mewakili rakyat mahu penjelasan yang adil dan saksama dari Pas kerana sebahagian dari peruntukkan yang digunakan itu merupakan bantuan dari kerajaan pusat dan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.

Fatmi yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Bharu yakin rakyat Kelantan mahukan parti ini terajui Kelantan selepas PRU14 kelak.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 20 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan