KOTA BHARU: Sebanyak 699 pusat pemindahan banjir dengan kapasiti muatan 213,180 mangsa disediakan sebagai persiapan menghadapi banjir yang dijangka berlaku di Kelantan pada penghujung tahun ini dan awal tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana dan Bantuan Banjir Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata sebanyak 8,000 petugas yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan terlibat dalam operasi itu.
"Kesemua 216 pangkalan hadapan di 10 daerah yang terbabit juga akan dibekalkan bantuan bekalan makanan mulai esok,"katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Mohd Faudzi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata persiapan menghadapi bencana alam itu dicapai bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi kerajaan yang berkaitan.
"Dalam taklimat rutin ini kita akan mendengar segala persiapan yang mana agensi terbabit akan memaklumkan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi banjir,"katanya.
Beliau berkata maklumat daripada Jabatan Meteorologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran akan menjadi perolehan bagi persiapan tersebut.
Katanya persediaan awal amat penting khususnya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk iaitu di jajahan Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Mohd Faudzi berkata penanda aras banjir di negeri ini adalah banjir pada 2014 dan jumlah petugas akan ditambah sekiranya keadaan memerlukan.
"Kita yakin persediaan yang dilakukan akan berjaya mengatasi apa-apa kemungkinan,"katanya.
Sumber: Bernama | 8 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan