Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 29 Oktober 2017

Program pembinaan rumah PPRT diteruskan di Kelantan - Ahmad Jazlan

MACHANG: Pembinaan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diteruskan di Kelantan kerana masih ramai rakyat kategori miskin tegar memerlukan kediaman yang selesa.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kebanyakan golongan miskin tegar itu tinggal di kawasan pedalaman negeri ini.

"Ada di antara mereka telah diberi peruntukan membaiki rumah di antara RM10,000 dan RM13,000 tetapi rumah mereka masih lagi tidak boleh dibaiki.

"Berdasarkan keadaan itu, adalah lebih baik dibina rumah baharu di bawah program PPRT yang mengandungi tiga bilik dan bernilai RM40,000 sebuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Ilmu Mengubah Destini di Sekolah Menengah Kebangsaan Machang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan Persekutuan juga akan memberi tumpuan bagi melaksanakan projek-projek perumahan lain seperti Rumah Bina Negara agar lebih ramai rakyat Kelantan dapat keluar daripada garis kemiskinan tegar.

Ahmad Jazlan turut memberi jaminan bahawa Kelantan tidak akan dipinggirkan daripada projek-projek pembangunan di bawah kementerian itu selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi perhatian istimewa terhadap keperluan rakyat Kelantan yang mahukan projek pembangunan walaupun negeri itu ditadbir pembangkang.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan