Megat Nordin dikunjungi rakan-rakanya selepas selamat menjalani pembedahan di HRPZ II, Kota Bharu hari ini. |
Pembedahan hampir dua jam bagi membuang cecair yang mengakibatkan bekas peserta rancangan realiti Kilauan Emas 2014 itu tidak selesa dan sukar bernafas sejak malam tadi itu berjalan dengan lancar.
Menurut isterinya, Khoirunnisa Madiyoh, 48, suaminya dimasukkan ke bilik bedah hospital berkenaan pada pukul 11 pagi dan selesai menjalani pembedahan kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Katanya, dia bersyukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun doktor memaklumkan cecair itu tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dan pembedahan lain mungkin terpaksa dilakukan sekali lagi selepas ini.
"Malam tadi keadaan suami saya agak membimbangkan kerana dia tidak dapat tidur dan sukar bernafas. Alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan ini, saya dapat lihat keadaannya menjadi lebih baik.
"Doktor akan menjalankan rawatan seterusnya kerana dikhuatiri saluran darahnya yang berdekatan jantung tersumbat. Namun, ianya bergantung kepada tahap kesihatan dan keadaan suami saya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Khorunnissa, buat masa ini, dia terpaksa mengehadkan penerimaan pelawat memandangkan suaminya baru sahaja menjalani pembedahan selain memerlukan rehat yang cukup.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan Megat Nordin hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa, Kedai Lalat di sini akibat penyakit yang dihidapinya.
Sumber: Utusan Online | Nasional | 18 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan