SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd menyasarkan untuk memulih kembali operasinya dan mencatat keuntungan selepas lima tahun.
Pengerusi, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata pembangunan produk baharu, terdiri daripada reka bentuk dan pengeluaran, antara lain, akan mengambil masa kira-kira tiga tahun.
"Dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, kami mahu merekodkan pulangan modal apabila syarikat mula membuat model kereta baharu. Kami menjangkakan syarikat mencatat keuntungan semula hanya selepas lima tahun," katanya semasa sidang media bersama DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) di sini, hari ini.
Syed Faisal, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom berkata, walaupun Proton mahumengeluarkan kereta baharu secepat mungkin, namun ia perlu meneroka dan menilai kesemua pilihan kemungkinan memandangkan ia melibatkan pelaburan yang besar.
"Sebab itu kami memerlukan rakan kongsi strategik - Geely. Berdasarkan pengalaman global mereka, banyak perkongsian boleh dilaksanakan seperti perkongsian teknologi, sekali gus membolehkan kami menjual kereta pada harga lebih rendah," katanya.
Beliau berkata, Proton menyasarkan untuk berada dalam senarai tiga pembuat automotif utama di ASEAN dan meraih semula kedudukan teratas dalam sektor automotif tempatan.
Syed Faisal turut berkata, Proton akan menggunakan sebanyak mungkin komponen tempatan untuk mendapatkan insentif kerajaan yang lebih tinggi.
"Langkah itu diambil Proton untuk mendapat insentif kerajaan yang lebih tinggi dan pada masa sama, menggalakkan sektor automotif tempatan iaitu sebahagian daripada dasar kerajaan," katanya.
DRB-Hicom memiliki 50.1 peratus pegangan dalam Proton, yang menguasai 100 peratus pegangan dalam Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, serta bertanggungjawab terhadap pengeluaran utama, operasi, pembuatan dan pemasaran syarikat automotif itu.
Baki 49.9 peratus pegangan dalam Proton dimiliki oleh pembuat kereta China, Geely, yang turut memiliki Volvo Car Group dari Sweden.
Sementara itu mengenai peranan Geely dalam Proton, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely, Daniel Li Donghui berkata tumpuan utama kini adalah menyediakan teknologi terkini seperti enjin dan penyelesaian tenaga.
"Sebagai contoh, kami akan membekalkan enjin canggih terkini iaitu Euro 6 dan seterusnya. Ketika ini Proton menggunakan enjin Euro 4.
"Kami juga mahu memperkenalkan kereta elektrik dan hibrid baharu kepada Proton, selain mengeluarkan kereta yang menggunakan bahan api lazim," katanya.
Mengenai operasi Proton, Daniel Li berkata ia akan lebih menekankan aspek pengeluaran, penambahbaikan kilang, pengenalan produk baharu serta usaha pemindahan teknologi.
Sumber: Bernama | 29 September 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan