KOTA BHARU: Pakatan pembangkang perlu berhenti mencanangkan kononnya mampu menawarkan pendidikan percuma kepada rakyat kerana perkhidmatan tersebut di negara ini, khususnya pendidikan tinggi sebenarnya sudah hampir percuma.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan menampung lebih 90 peratus yuran akademik semasa yang dikenakan di universiti awam, sekali gus menjadikan kos pendidikan tinggi di negara ini sebagai antara terendah di Asia.
Sebagai contoh katanya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885 namun selepas 91.41 peratus subsidi oleh kerajaan, pelajar hanya perlu membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian
“Pakatan pembangkang pula asyik bercakap tentang mahu beri pendidikan percuma... sudah lama dia sebut benda ini. Cakap senang tapi nak melaksanakannya payah. Baik dia bercakap tentang perkara lebih praktikal.
“Dulu mereka pernah laksanakan (pendidikan percuma) di Unisel, namun tidak berjaya sehingga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terpaksa membantu mereka.
“Jadi kalau mereka kata nak beri pendidikan percuma, kita sebenarnya sudah hampir memberi pendidikan percuma dengan menanggung subsidi yuran pendidikan setiap pelajar lebih 90 peratus,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Pelancaran Makmal Data Raya (Big Data Lab) Seluruh Sistem UiTM, di sini hari ini.
Sumber:Utusan Malaysia | Nasional | 29 Oktober 2017 | Terbitan 30 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan