Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Oktober 2017

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap pertama di Kelantan

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr. Noordin Ahmad mencuba salah satu teleskop sambil diperhatikan Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan, Dr Mahomarawi Omar di majlis penyerahan Projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) Balai Cerap Kota Bharu kepada Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan di Kampung Kubang Rawa, Salor di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan membina balai cerap pertama di negeri ini termasuk kemudahan dua teleskop bernilai RM250,000.

Ketua Pengarah ANGKASA, Dr. Noordin Ahmad berkata, pembinaan fasiliti berserta kelengkapan teleskop di Kampung Kubang Rawa, Salor itu dilaksanakan di bawah Projek Inovasi Sosial (MSI) MOSTI bagi memupuk kesedaran dan minat masyarakat negeri ini kepada ilmu astronomi dan angkasa.

Beliau berkata, ini merupakan projek MSI ketiga sejak 2015 selepas pembinaan Balai Cerap Persatuan Sabah Stargazer di Papar, Sabah dan perkhidmatan Observatori Solar Atas Talian untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor.

“Objektif utama projek MSI adalah untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi termasuk astronomi yang merupakan bidang fokus negara dan diletakkan dalam kokurikulum di sekolah.

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap rasmi pertama di negeri ini dan kita harap ia akan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan penggemar astronomi untuk datang dan mengambil maklum perkembangan terkini bidang ini.

“Balai cerap yang bersaiz 800 kaki persegi (74.5 meter persegi) ini dilengkapi dengan empat sistem teleskop; kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang disesuaikan untuk pengimejan astrofoto; ruang pencerapan dan pembelajaran,” katanya di majlis penyerahan projek MSI Balai Cerap Kota Bharu kepada Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan di sini hari ini.

Difahamkan balai cerap ini akan siap dibina sepenuhnya pada bulan depan dan dibuka kepada orang ramai Januari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan, Dr Mahomarawi Omar berkata, pihak persatuan memohon geran MSI MOSTI itu pada 2015 dan ia diluluskan pertengahan tahun lalu bagi pembinaan sebuah balai cerap di atas tanah miliknya di sini.

Mahorawi yang juga pakar bius di sebuah hospital swasta berkata, sebelum ini beliau telah membuka balai cerap mini di rumah lamanya di Kubang Kerian dan mendapat sambutan hangat peminat astronomi tempatan sehingga membawa kepada penubuhan persatuan.

“Sejak dahulu saya telah membelanjakan kira-kira RM500,000 termasuk 20 teleskop pelbagai saiz yang turut bakal digunakan di Balai Cerap Kota Bharu.

“Saya amat mengharapkan semua pihak mengambil peluang ini terutama para pendakwah kerana astronomi atau falak adalah sebahagian ilmu yang diasaskan ulama terdahulu,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 30 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan