Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 12 Oktober 2017

HRPZII tawar urutan tradisional dan akupuntur

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) merupakan hospital awam pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional komplementari (TCM) kepada pesakit.

Timbalan Pengarah Perubatan HRPZII Dr Mohd Azman Yaacob berkata perkhidmatan, yang disediakan di hospital berkenaan sejak 2012, kini menerima lapan pesakit setiap hari.

"Masih ramai orang awam tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan ini walaupun ia ditawarkan sejak lima tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka HRPZII di sini, hari ini.

Dr Mohd Azman berkata tempoh rawatan TCM yang diperlukan bagi setiap pesakit adalah selama 45 minit dengan kadar bayaran serendah RM5 bagi pesakit luar dan percuma bagi penjawat awam.

Beliau berkata kebanyakan rawatan tradisional komplementari itu tertumpu kepada mereka yang mempunyai masalah tulang, ibu-ibu selepas bersalin serta pelanggan yang berhasrat untuk mendapatkan penjagaan payu dara.

"Rawatan akan dilakukan oleh pengamal berkelayakan dan bertauliah iaitu dua orang bertanggungjawab untuk bahagian urutan tradisional manakala seorang di akupuntur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Azman berkata HRPZII turut menawarkan perkhidmatan pembedahan jantung.

Katanya pada tahun ini, sebanyak 44 pembedahan jantung sudah dilakukan dan pesakit kini tidak lagi perlu ke Institut Jantung Negara ( IJN) Kuala Lumpur.

"Namun, ada sesetengah kes pembedahan yang rumit akan dirujuk ke IJN kerana di HRPZII hanya mempunyai seorang pakar bedah jantung," katanya. 

Hari terbuka HRPZII, yang julung kali diadakan, bertujuan memberitahu orang ramai yang berkunjung ke hospital berkenaan mengenai pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat.

Sumber: Bernama | 12 Oktober 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan