GERIK: Kerajaan Negeri Perak tidak bercadang menutup Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik dan Jeli di Kelantan kepada pengguna ekoran kejadian runtuhan cerun di Kilometer 140 sejak Selasa lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata hanya satu lorong dibuka sejak runtuhan itu berlaku dan pengawasan lalu lintas 24 jam dilakukan di lokasi kejadian.
Justeru, beliau menasihati pengguna laluan itu supaya mematuhi arahan dan papan tanda bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
"Kita memantau runtuhan cerun itu kerana tindakan pembaikan tidak dapat dilakukan pada masa ini sehingga cerun menjadi stabil," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi runtuhan yang terletak kira-kira 31km dari sini, hari ini.
Katanya, runtuhan selebar 60m dan berketinggian 25m itu memerlukan pemerhatian dari semasa ke semasa kerana masih terdapat pergerakan tanah di bahagian atas permukaan cerun.
"Walaupun runtuhan berlaku dalam skala kecil tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memantaunya jika keadaan berbahaya kepada pengguna," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan kira-kira RM200,000 untuk menyelenggara dan membersihkan keadaan jalan di kawasan runtuhan itu.
Sumber: Bernama | 6 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan