BESUT: Ketirisan bekalan minyak masak bersubsidi dalam negara masih lagi di tahap yang sederhana dan boleh ditangani oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata namun begitu Sabah dan Kelantan menjadi negeri tertinggi ketirisan minyak masak berpaket kerana terletak berhampiran kawasan sempadan.
"Kebiasaannya minyak masak bersubsidi dari Sabah akan diseludup keluar kerana ia dekat dengan Indonesia dan Filipina...begitu juga di Kelantan...beberapa bulan lepas kami telah mengesan sindiket yang cuba menyeludup barang ini keluar dan cubaan tersebut telah berjaya dipatahkan. Mereka ini telah kami batalkan lesen dan kuota terutamanya di kawasan Sandakan, Sabah.
Status bekalan juga bukan di tahap serius. Ada kawasan yang mendapat bekalan minyak dan ada yang tidak... itu yang kami sedang atasi di mana kalau ia kurang kami ingin pastikan ia cukup dan kalau ia cukup kami ingin pastikan ia tidak diseludup keluar. Ada juga pihak yang menaikkan harga inyak masak bersubsidi ini sehingga RM2.80 sedangkan harga kawalan hanyalah RM2.50," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Operasi Bersama Jabatan NBOS KPDNKK bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.
Operasi yang melibatkan 45 anggota itu turut meninjau dan membuat pemeriksaan kapal-kapal dan bot di perairan Kuala Terengganu, Merang, dan Kuala Besut.
Mereka turut meninjau beberapa tempat peranginan di Pulau Redang dan Pulau Perhentian untuk melihat situasi bekalan terutama bekalan minyak petrol, diesel dan gas memasak.
Selain itu KPDNKK juga turut membuat tinjauan di Pos Projek Komuniti 'Drumming' Pulau Perhentian, yang membekalkan minyak petrol dan diesel kepada penduduk setempat.
"Dilihat pos di sini mematuhi segala peraturan dari segi harga, perlesenan, penentu alat sukat dan perlaksanaan buku stok minyak juga sempurna...kita juga mendapat maklum balas daripada penduduk di sini supaya mempertingkatkan bekalan minyak petrol kerana yang sedia ada tidak cukup
Kami mengambil kira hal berkenaan dan akan mengkaji di peringkat ibu pejabat sama ada kuantiti tersebut akan ditambah atau kita lihat apa penambahbaikkan yang boleh dilakukan," katanya.
Sumber: Bernama | 6 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan