KOTA BHARU: Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra menyarankan UMK menubuhkan badan bertindak bagi menghadapi perubahan baharu dalam pelbagai bidang.
Baginda yang juga Pemangku Raja Kelantan bertitah, pasukan khas tersebut akan bertanggungjawab untuk mengenal pasti perancangan dan strategi bagi menentukan perubahan dalam pelbagai aspek merangkumi pendidikan, penyelidikan, tadbir urus, hal ehwal akademik dan kurikulum pembangunan pelajar dan keusahawanan.
"Kita berdepan teknologi baharu dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan robotik, 'internet of things', kenderaan elektrik tanpa pemandu, percetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum," titah baginda pada istiadat Konvokesyen Ke-7 UMK di sini, hari ini.
Baginda bertitah kehidupan manusia akan berubah dan menyebabkan bidang pekerjaan lazim akan hilang.
"Pekerjaan baharu akan muncul dan kita perlu bersedia untuk merebut peluang dalam bidang pekerjaan masa depan ini," titah baginda.
Baginda juga mahukan kemajuan dan kepakaran yang dicapai dalam tempoh 10 tahun penubuhan UMK dapat dikembangkan kepada pembangunan negeri Kelantan.
Sambil mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya, baginda menasihati mereka agar sentiasa mengingati jasa ibu bapa dan berusaha dengan lebih gigih dalam fasa kehidupan seterusnya untuk menjadi insan yang berguna dan berbakti.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kelestarian dan Naib Canselor Pertama UMK Prof Emeritus Datuk Dr Ir Zainai Mohamed atas penganugerahan Profesor Emeritus.
Pada konvokesyen itu, seramai 10 orang menerima anugerah doktor falsafah, 151 graduan menerima ijazah sarjana dan 2,306 graduan menerima ijazah sarjana muda.
Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan