Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 1 Jun 2015

Kelantan dibangunkan agar tidak ketinggalan

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sedang memberi perhatian yang lebih untuk membangunkan Kelantan supaya tidak ketinggalan ketika Malaysia mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata setakat ini, Kelantan masih jauh ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding negeri lain termasuk kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, lapangan terbang dan kemudahan air bersih.

"Kita tidak mahu Kelantan tercicir kerana sekarang ini masih ketinggalan, banyak perkara yang perlu dilakukan. Ini cabaran besar bagi Kelantan untuk seiring dengan negeri lain dalam mencapai status negara maju. 

"Kita harap kerajaan negeri (pimpinan Pas) memainkan peranan membela rakyat Kelantan dan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena Perayaan Hari Guru peringkat negeri Kelantan 2015 di sini malam tadi.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata tiga projek utama di Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) baru-baru ini, akan menjadi pemangkin pembangunan di negeri ini.

Tiga projek berkenaan ialah pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini dan projek tebatan banjir Sungai Kelantan secara bersepadu melalui pembinaan empangan Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.

Mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan negeri, Mustapa berkata terdapat kemungkinan kerajaan negeri menyerahkan projek itu kepada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan kerana ia didakwa menghadapi banyak masalah.

Kerajaan Kelantan melancarkan secara rasmi operasi untuk mulakan pembinaan Lebuh Raya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer dari Bukit Bakar, Machang sehingga Dusun Damar, Kuala Krai pada Ogos tahun lepas.

Projek yang menelan belanja RM854 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga atau empat tahun iaitu Disember 2017. 

Sementara itu, mengenai kenaikan harga runcit petrol Ron95 dan Ron97 serta diesel sebanyak 10 sen seliter mulai hari ini, Mustapa berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk engapungkan harga minyak mengikut pergerakan harga pasaran dan majoriti rakyat telah mula menerima kaedah berkenaan.

"Kalau kita terus beri subsidi seperti dahulu ia tidak lestari maknanya kita terpaksa membelanjakan wang yang cukup besar untuk subsidi dan jika kita teruskan subsidi sudah tentu menjejaskan peruntukan untuk sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan," katanya.

Mustapa juga mahu kementerian berkaitan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenangnya bagi mengaut keuntungan berlebihan berikutan perubahan harga minyak berkenaan.

Sumber: Bernama | 1 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan