Mazlan melancarkan buku 100 Mitos dan Fakta Mengenai Jenayah, Penjenayah dan Mangsa Jenayah di RTC. |
KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menggesa orang ramai menghentikan viral kapal terbang terhempas yang didakwa berlaku di kawasan Kampung Lata Manis, Gua Musang, malam semalam.
Menurutnya, pihak polis telah menyiasat perkara tersebut dengan pihak-pihak yang berkenaan terutamanya pusat kawalan penerbangan di Kota Bharu dan maklumat tersebut ternyata tidak benar.
“Kita telah siasat dengan mereka (pusat kawalan), semua pesawat sampai dengan baik, termasuklah juga dengan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Mereka (TUDM) mengesahkan semua pesawat mereka tidak hilang dan dalam masa yang sama memaklumkan ada pesawat yang membuat latihan di kawasan tersebut.
“Itu sebabnya kita percaya pemberi maklumat itu mungkin nampak pesawat yang berkenaan terbang rendah semasa buat latihan. Memang mereka sedang berlatih untuk terbang rendah. Maka kita memang sahkan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada media selepas merasmikan Pelancaran United Againts Crime, Bersama Membanteras Jenayah di RTC Tunjong, di sini, hari ini.
Viral yang mengatakan sebuah kapal terbang didakwa jatuh di kawasan Kampung Lata Manis, Gua Musang jam 8.30 malam kelmarin menggemparkan seluruh negara walaupun kehadiran Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak Polis di kawasan tersebut tidak menjumpai sebarang bukti sebagaimana yang disebarkan.
Menurutnya, viral tersebut perlu dihentikan segera bagi memastikan orang ramai tidak panik dan hasil maklumat dari Ketua Balai Paloh serta rondaan yang dilakukan, perkara tersebut memang tidak wujud.
Beliau berkata, malah penduduk kampung yang ditemui pihak polis juga menyatakan yang mereka tidak mendengar sebarang bunyi atau perkara yang mencurigakan.
“Mungkin pemberi maklumat itu mendengar yang jet tersebut terbang rendah, dia jangkakan kapal terbang nak jatuh. Bagi saya baguslah sebab proaktif, manalah tahu benda itu betul, tapi sekarang ini memang tidak adalah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Semasa | 4 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan