GUA MUSANG: Dua keluarga dari Kampung Bertam di sini, yang kehilangan rumah akibat banjir Disember tahun lepas, hari ini gembira memperoleh rumah kekal yang siap dibina oleh Kerajaan Persekutuan.
Mohd Jaafar Yusoff, 60, bersyukur kerana keluarganya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.
"Syukur akhirnya saya dan keluarga dapat juga tinggal di rumah kekal yang lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah berkenaan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Ab Ghani di Kampung Bertam di sini.
Dua keluarga terbabit sebelum ini tinggal di khemah di kampung itu.
Seorang lagi penerima, Wan Ibrahim Husin, 29, berkata keluarganya sudah merasai betapa susahnya berdepan dengan kehilangan rumah dalam kejadian banjir itu.
"Tidak ada apa yang saya nak ucapkan kepada kerajaan yang menyiapkan rumah untuk keluarga saya kecuali terima kasih," katanya.
Sementara itu, Mat Yusoff berkata di kawasan DUN Nenggiri masih terdapat 260 keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir dan menunggu rumah kekal yang dibina kerajaan.
Katanya kerajaan persekutuan kini sedang berusaha bagi mempercepatkan pembinaan rumah kekal kepada mereka.
Sumber: Bernama | 23 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan