Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 22 Jun 2015

UMK bantu jana ekonomi Kelantan

BACHOK: Peruntukan berjumlah RM350 juta untuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan RMK11 menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri ini.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tiga jajahan iaitu Bachok, Kota Bharu dan Jeli yang masing-masing menempatkan kampus universiti itu akan turut membangun berikutan pertambahan pelajar dan kakitangan.

"Ia memberi impak besar terhadap perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat seperti menyediakan ruang perniagaan dan pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis Iftar Ramadan UMK di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Mortaza Mohamed.

Sempena majlis berkenaan seramai 100 anak yatim dari beberapa sekolah di sekitarnya Bachok menerima sumbangan wang tunai RM5,000. UMK kini mempunyai 1,500 pelajar.

Sementara itu, Hamad Kama Piah ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, peruntukan itu sudah pasti memberi impak besar bukan sahaja berfokus kepada mahasiswa bahkan kepada komuniti setempat.

Beliau berkata pada tahun ini, pembinaan beberapa projek telah bermula di Kampus Bachok seperti bangunan pusat pengajian bahasa dan pembangunan insaniah, bangunan pusat mahasiswa, pusat Islam dan masjid.

"Projek lain ialah bangunan canselor, perpustakaan utama, kompleks akademik dan dewan utama serta kompleks sukan yang dijangka siap pada 2016 dan 2017," katanya.

Pada majlis itu Bank Islam Malaysia Berhad dan Lembaga Amanah Kolej Islam Malaysia masing-masing turut menyumbang wang zakat RM40,000 dan RM30,000 kepada pelajar UMK sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Sumber: Bernama | 21 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan