Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 26 Jun 2015

1,001 dugaan Ramadan mangsa bah kuning di Bandar Utama, Gua Musang


GUA MUSANG: Ketika seluruh umat Islam di negara ini menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba sempurna, berbeza pula dengan na­sib lebih 45 keluarga di khemah sementara yang disediakan Majlis Ke­selamatan Negara oleh (MKN) di Bandar Utama di sini.

Mereka terpaksa menempuh ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan selain mengharungi 1,001 dugaan pada bulan mulia ini.

Bagaimanapun penghuni di sini tetap tabah malah kelihatan gembira dalam menyempurnakan ibadah tersebut tanpa pernah merungut jauh sekali menyalahkan pihak bertanggungjawab ekoran kelewatan me­­­n­yi­apkan rumah kekal kepada mereka.

Malah rata-rata daripada keluarga terbabit turut memaklumkan bahawa mereka lebih selesa tinggal di khemah ini meskipun dalam keada­an serba kekurangan berbanding berpindah ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di sini.

Wartawan Utusan Malaysia ser­ta jurugambar mengambil ke­sempatan merasai sendiri pengalaman berpuasa bersama mangsa di khemah tersebut selain meninjau kehidupan mangsa lain yang tinggal di khemah yang dibina sendiri di beberapa buah kampung sekitar daerah ini.

Hasil pemerhatian wartawan sepanjang dua hari berpuasa di khemah tersebut mendapati kebanyakan keluarga terbabit menyambut kedatangan Ramadan tahun ini dalam keadaan serba sederhana.

Rata-rata mereka dilihat bangun seawal pukul 4 pagi bagi menyediakan juadah sahur dengan menu yang disediakan terdiri daripada telur goreng, ikan rebus dan sardin.

Wartawan bersama jurugambar turut bersama dengan salah sebuah keluarga di sini bersahur. Jika sebelum ini wartawan bersahur dalam keadaan selesa di rumah, di sini suasananya cukup berbeza, terpaksa makan dalam keadaan berhimpit di dalam khemah kecil ini.

Namun dapat disaksikan pada riak wajah mereka kelihatan gembira. Bagi mereka dapat bersahur dan berbuka puasa bersama ahli keluarga tetap menjadi keutamaan meskipun suasananya tidak seperti ketika berada di rumah.

Hasil pemerhatian wartawan pada sebelah siang pula mendapati kebanyakkan keluarga ini hanya menghabiskan masa berehat di khemah manakala kelihatan kanak-kanak kecil bermain bersama rakan-rakan lain di kawasan lapang berhampiran penempatan tersebut.

Pada sebelah petang, keluarga terbabit memasak untuk juadah ber­buka. Makanan yang disediakan tidak semewah ketika mereka berpuasa di rumah seperti sebelum-sebelum ini. Terdapat juga keluarga yang lebih selesa membeli makanan di bazar Ramadan.

Berat mata memadang, berat lagi bahu memikul, itu gambaran sesuai yang dapat disimpulkan wartawan tatkala melihat mereka ini menjalani ibadah puasa dalam keadaan cuaca panas di siang hari, manakala sebelah malam pula hujan.

Ketika menjenguk kehidupan mereka di dalam khemah yang keluasannya begitu terhad, keluarga yang mempunyai anak ramai kelihatan terpaksa berhimpit, di dalam khemah itu mereka makan, di situ mereka tidur dan berehat.

Bagaimanapun daripada aspek kemudahan asas seperti air dan elektrik tidak mempunyai sebarang masalah dengan terdapat lebih 20 tandas, tempat membasuh pakaian dan ruang untuk memasak.

Pada sebelah malam keluarga terbabit hanya menghabiskan masa berbual bersama rakan-rakan lain di khemah tersebut sebelum menanti hari esok bagi memulakan kehidupan seperti biasa.

Malah masih tergiang-tergiang di telinga wartawan saat mendengar reaksi spontan salah seorang penghuni, Ku Amran Ku Mat,49, ketika kami berbuka puasa bersama dalam keada­an hujan lebat di khemah terbabit pada hari pertama Ramadan.

Katanya, pertama kali dalam sejarah rakyat negara ini terpaksa menjalani ibadah puasa di dalam khemah dan ia berlaku di sini.

Kata-kata Ku Amran itu sememangnya benar belaka, belum pernah terjadi sebelum ini yang mana rakyat Malaysia terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan di dalam khemah me­lainkan di negeri ini.

Ketika seluruh umat Islam menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba sempurna, masih terdapat ramai lagi yang terpaksa hidup dalam keadaan serba kepayahan dan mereka adalah mangsa bah kuning di Kelantan.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 23 Jun 2015 | Terbitan 24 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan