Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Jun 2015

83 penagih dadah ditangkap di Bachok dari Jan - Mei 2015

Sarang dadah dibersihkan sempena program My Beautiful Malaysia di Kampung Nenasi, Beris Lalang.
BACHOK: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Bachok melakukan 83 tangkapan di seluruh daerah ini sehingga Mei 2015.

Penolong Pegawai AADK daerah Bachok, Mohd Wafi Kamarudin berkata, daripada jumlah itu, 23 orang telah didakwa dan dimasukkan ke pusat pengawasan.

“Di kawasan Beris Lalang ini juga terdapat 13 penagih yang ditangkap tahun ini. Kita dapat maklumat di sini adalah salah satu ‘port’ yang mereka sering gunakan untuk melepaskan gian.

"Sebab itulah, kita datang bersihkan kawasan ini bersama beberapa agensi termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Kita akan buat program My Beautiful Malaysia yang menyasarkan pembersihan sarang penagihan dadah di sekitar daerah ini sehingga sebelum Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian selepas membersihkan sarang penagihan dadah di Kampung Nenasi, Beris Lalang, dekat sini.

Mohd Wafi berkata, setakat ini keberkesanan program itu dapat dilihat apabila sarang penagihan dadah yang dibersihkan itu tidak lagi digunakan, hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Giat Mara, polis dan sebagainya.

Sementara itu, wakil IKBN, Mohd Baharudin Said berkata, pihaknya membawa 32 pelatih IKBN yang mengikuti kursus jangka pendek menyertai program My Beautiful Malaysia untuk memberi pendedahan pencegahan dadah.

Menurutnya, melalui aktiviti seumpama itu, pelatih IKBN mendapat input daripada AADK mengenai bahaya dadah terdapat diri, keluarga dan masyarakat.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan