Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 17 Jun 2015

USM lahirkan 55 
saintis Neurosains


Mafuzy Mohamed (dua dari kanan) berbincang dengan wakil DAAD, Jerman selepas merasmikan DAAD Summer School Kursus Asas Elektrofisiologi 2015 di Kampus Kesihatan USM, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) terus mendominasi bidang perubatan negara apabila berjaya melahirkan 55 saintis dalam bidang Neurosains sehingga kini.

Pengarah Kampus Kesihatan USM, Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, kejayaan tersebut adalah kesan daripada kerjasama bersepadu antara USM dan Deutscher Akademischer Austauschdienst (DAAD), Jerman yang telah diadakan buat kali ketiga tahun ini.

“Sebelum ini, kursus asas Elektrofisiologi DAAD telah dilaksanakan pada tahun 2009, 2012 dan untuk kali ketiga tahun ini, kursus ini untuk melatih dan melahirkan lebih ramai saintis Neurosains di peringkat ijazah serta sarjana.

“Kerjasama dengan DAAD adalah satu kelebihan buat USM kerana setakat ini, kita juga telah berjaya menghantar beberapa pelajar melanjutkan pengajian di luar negara di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan DAAD Summer School Kursus Asas Elektrofisiologi 2015 dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains di Kampus Kesihatan USM di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains (P3Neuro), Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah dan pihak DAAD yang ketuai oleh Prof. Michael Horner.

Mafauzy berkata, bidang Neurosains ini amat diperlukan khususnya pada masa hadapan seiring dengan peningkatan usia penduduk dunia.

“Dengan peningkatan usia, ramai yang akan menghidapi penya-kit pelupa, nyanyuk, kemurungan dan akhirnya membawa kepada gejala bunuh diri.

“Oleh sebab itu, kita akan fokus kepada bidang Neurosains ini kerana bukan sahaja amat penting malah bidang ini sedang berkembang dengan pantas pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan DAAD itu cukup memberi kesan kerana turut menjadikan USM sebagai pusat rujukan untuk pelajar dan saintis dari seluruh negara mengembangkan lagi aktiviti Neurosains.

“Matlamat USM menjelang 2020 adalah untuk melahirkan sekurang-kurangnya lima pelajar PhD dan lima pelajar sarjana melalui Program Bersepadu Neurosains setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, kira-kira 70 peratus pakar bedah otak di seluruh negara adalah hasil graduan USM.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 16 Jun 2015 | Terbitan 17 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan