Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 29 Jun 2015

TH dekati mangsa banjir mukim tebing tinggi dengan pelbagai program kemasyarakatan

TANAH MERAH: Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan bagi mendekati penduduk Mukim Tebing Tinggi, Kusial Baru di sini iaitu antara kawasan yang terjejas teruk dilanda banjir pada Disember tahun lepas.

TH menjadikan Masjid Mukim Tebing Tinggi sebagai masjid angkat sejak April lalu dan menganjurkan pelbagai program termasuk program Ihya Ramadan bersama penduduk pada Jumaat malam.

Program lain ialah gotong royong membersihkan kawasan sekitar masjid, program motivasi, pemeriksaan kesihatan, program derma darah dan masakan kenduri sekampung.

Pada program Ihya Ramadan itu, TH turut menyumbang RM4,000 kepada empat surau di sekitar Mukim Tebing Tinggi bagi membaik pulih surau berkenaan yang rosak akibat bencana banjir.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah ketika berucap pada majlis itu berkata TH sentiasa berusaha memainkan peranan aktif menyumbang semula kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan bantuan melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata TH turut melaksanakan projek kelas tuisyen Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 48 pelajar mukim itu yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Katanya pelaksanaan pelbagai program itu akan dapat memberi impak positif kepada pelajar dan belia untuk lebih dekat dengan masjid seterusnya membentuk generasi 'mukim profesional' yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi.

Sumber: Bernama | 27 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan