LEBUH Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang telah siap sepenuhnya dan dibuka secara percuma kepada lalu lintas sejak 31 Jan lepas, dijangka akan mula mengenakan tol pada Ogos hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir Rosli Othman berkata, pada awalnya LPT2 sepanjang 184 km dengan harga RM3.7 bilion itu dijadualkan mula mengenakan tol pada Jun ini namun terpaksa ditunda atas beberapa faktor.
"Saya difahamkan ia akan mula mengenakan tol selepas hari raya puasa ini dan sehingga kini kita masih tidak tahu kadar bayaran tol itu.
"LPT2 itu akan dikendalikan oleh PLUS dan dijangka mereka akan mengenakan kadar tol berasaskan kepada LPT1," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan kawasan Terengganu Selatan di sini hari ini.
Ir Rosli berkata, ketika ini kerja-kerja membaiki lebuh raya itu sedang berjalan yang dikendalikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ini kerana terdapat sesetengah kawasan di lebuh raya itu jalannya beralun seperti laluan Jabor hingga ke Kijal dan Ajil. PLUS akan mengambil alih lebuh raya itu dengan lapan plaza tol.
Mengenai kemalangan yang sering belaku di sepanjang lebuh raya itu, Ir Rosli berkata beberapa faktor telah dikenalpasti antaranya kecuaian manusia itu sendiri.
"Lebuh raya itu jalannya lurus dan ada pemandu yang mengantuk lalu terbabas. Kita juga tidak nafikan faktor binatang ternakan yang memasuki kawasan lebuh raya turut menyumbang kepada kemalangan," katanya.
Ir Rosli berharap tuan punya binatang mengawasi ternakan mereka supaya tidak memasuki kawasan lebuh raya kerana ia menyumbang kepada kemalangan.
Sumber: Bernama | 28 April 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan