KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan sedang mengenal pasti beberapa tanah milik individu di Kelantan untuk dibeli dan dijadikan tapak pembinaan rumah kekal mangsa banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini pihaknya telah mengenal pasti tanah milik individu seluas 2.4 hektar di Pria, Manjor (2.8 hektar), Kemubu (3.6 hektar) dan Dabong (3.6 hektar), yang kesemuanya dalam jajahan Kuala Krai.
"Kita minta bantuan kerajaan Negeri dari segi ubah syarat tanah dan proses dokumentasi lain yang berkaitan dengan pembelian tanah berkenaan supaya rumah kekal untuk mengsa banjir dapat dibina segera," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Kerajan Persekutuan memutuskan untuk membeli tanah milik individu kerana tanah yang disediakan oleh kerajaan negeri tidak mencukupi atau tidak sesuai bagi pembinaan rumah untuk mangsa banjir.
Katanya sejumlah 1,827 rumah musnah akibat banjir di Kelantan pada Disember tahun lepas.
Bagi tapak rumah seluas 12 hektar yang telah disediakan oleh kerajaan negeri seperti di Telekong, Kuala Krai, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan menyediakan kos bagi pembinaan rumah kekal serta infrastruktur lain seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Sumber: Bernama | 16 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan