Khairy Jamaluddin |
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, atlet kebangsaan tidak perlu mematuhi garis panduan berkaitan pakaian yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika menyertai kejohanan sukan.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin berkata, pakaian sukan yang dipakai atlet negara akan dikaji semula.
Jamil Khir yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam menerangkan, Jakim akan mengkaji semula garis panduan pakaian atlet supaya ia mematuhi syariah.
Namun begitu, Khairy menjelaskan garis panduan yang disediakan Jakim hanyalah garis panduan dan tidak ada paksaan ke atasnya.
"Terpulang kepada atlet untuk mengikuti garis panduan tersebut dan tidak ada paksaan untuk mengenakan pakaian yang lain, jadi saya berharap ini dapat menyelesaikan isu pakaian atlet.
"Kita perlu ingat bahawa beberapa pakaian sukan dikawal oleh persekutuan sukan dan atlet-atlet ini hanya mengenakan pakaian tersebut semasa bertanding sahaja," katanya.
Khairy turut membidas pengkritik dengan menyifatkan mereka sebagai hipokrit dan menganggap isu ini berkaitan seksisme.
Farah Ann Abdul Hadi mengharumkan nama negara selepas berjaya memenangi dua pingat emas, satu perak, dan tiga gangsa pada Sukan Sea tahun ini tetapi menerima kritikan kerana dikatakan mendedahkan badannya.
"Farah sudah dewasa dan telah dibesarkan dengan baik. "Dia tahu apa yang dilakukan dan matang membuat keputusannya sendiri.
"Atlet-atlet lelaki tidak mendapat perhatian sebegini walaupun mereka memakai pakaian yang lebih mendedahkan tubuh badan mereka seperti ahli bina badan," kata Khairy.
Khairy juga menjelaskan tindakan akan diambil ke atas mereka yang mengkritik sekiranya perkara ini tidak dihentikan.
"Jika mereka tidak mampu menahan diri, kita perlu mengharamkan mereka daripada memasuki stadium," katanya lagi.
Sumber: mStar Online | Sukan | 17 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan