Seramai 28 OKP termasuk kakitangan AADK Pasir Mas mengikuti Program Kerohanian dan psiko-sosial di Masjid Lubok Jong setiap bulan. |
RANTAU PANJANG: “Saya pernah didatangi seorang isteri beranak lima, menangis supaya suaminya berhenti menagih dadah... saya amat sedih,” kata Imam Tua Masjid Lubok Jong, Abd Rahim Senik.
Berikutan peristiwa itu, atas rasa tanggungjawab mahu membantu anak muda keluar dari belenggu dadah, Abd Rahim mengadakan kelas agama secara percuma.
Menurutnya, program yang diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula 2013 itu adalah anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas.
“Selepas beberapa kali penganjurannya, bekas penagih dadah ini didapati lebih cenderung untuk mendalami Islam.
“Walaupun beragama Islam, tapi mereka mengaku tidak mempunyai apa-apa ilmu mengenai Islam, maka saya nak ubah mereka untuk jadi hamba ALLAH yang taat sekali gus menghindari najis dadah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemulihan AADK Pasir Mas, Zunainah Mohd Salleh berkata, seramai 28 orang kena pengawasan (OKP) termasuk kakitangan AADK Pasir Mas, mengikuti Program Kerohanian dan psiko-sosial di masjid ini setiap bulan.
Katanya, peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia akan menunaikan solat hajat, membaca surah Yasin, ayat ruqyah dan mengikuti tazkirah fardu ain.
“Selepas kelas, kakitangan akan periksa kandungan air kencing agar mereka sentiasa bebas daripada dadah.
“Kami menaruh harapan tinggi agar semua OKP ini dapat berubah dan jadi insan terbaik di dunia dan akhirat sekali gus mengajar anak-anak hindari dadah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 7 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan