Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Jun 2015

Pemilik kenderaan tiada sivik: Pemandu bas terpaksa ambil penumpang tepi jalan

Disebabkan masalah itu, bas terpaksa berhenti dan mengambil penumpang di bahu jalan dan ternyata tindakan itu dilihat berbahaya.
TANAH MERAH: Pengusaha bas ekspres yang beroperasi di Hentian Bas Tanah Merah, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, dekat sini, kini buntu dengan masalah sukar untuk keluar masuk bagi mengambil penumpang di terminal perhentian itu.

Ejen jualan tiket bas ekspres, Izani Zakaria mendakwa, masalah itu berpunca daripada tiadanya larangan yang menghalang orang awam meletakkan kenderaan di kawasan terminal hentian itu terutama pada waktu puncak.

Menurutnya, keadaan parkir terminal dipenuhi kenderaan orang awam itu menyebabkan pemandu bas ekspres terpaksa mengambil penumpang di bahu jalan utama walaupun tindakan tersebut dilihat berbahaya.

“Selain penumpang terpaksa bersusah payah naik bas di tepi jalan besar, keadaan ini juga berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain apabila bas berhenti di bahu jalan dalam suasana gelap ketika itu.

“Terminal ini luas tetapi bas susah nak keluar masuk sebab banyak kereta orang awam parkir dan ditambah pula sikap segelintir yang letak kenderaan mereka sesuka hati,” katanya, semalam.

Izani berkata, pengusaha bas juga kecewa apabila cadangan mereka sebelum ini supaya terminal hentian bas itu ditutup kepada kenderaan orang awam pada waktu puncak tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada pihak berkenaan.

Kenderaan orang awam memenuhi terminal Hentian Bas Tanah Merah yang dikatakan punca bas ekspres sukar keluar masuk untuk mengambil penumpang
“Kami cuma minta terminal ini ditutup kepada kenderaan orang awam pada waktu dan hari tertentu sahaja iaitu dari 7 malam hingga 11 malam pada musim cuti sekolah, hari perayaan terutama hari raya ketiga dan setiap Ahad malam Isnin.

“Pada hari dan waktu tersebut, kawasan terminal hentian bas ini memang sesak kerana perantau mula balik ke tempat kerja selepas bercuti sama ada hari raya atau cuti hujung minggu,” kata Izani.

Bas ekspres sukar untuk keluar masuk disebabkan sikap segelintir orang awam yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati.
Tambahnya, mereka percaya pihak berkuasa berkenaan mampu melaksanakan cadangan tersebut kerana masalah kesesakan di terminal itu hanya berlaku pada hari dan waktu tersebut.

“Kalau tak boleh tutup sepenuhnya, sekurang-kurangnya biar ada anggota penguat kuasa memantau kesesakan di terminal ini pada waktu puncak bagi memastikan laluan bas ekspres keluar masuk tidak terhalang,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 9 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan