Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 6 Jun 2015

Pembalakan: 1,000 penduduk di Gua Musang dakwa air tadahan tercemar

GUA MUSANG: Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Star Baru dan Kampung Kala di sini mendakwa sumber tadahan air bukit yang digunakan mereka tercemar akibat aktiviti pembalakan dan perladangan sejak enam bulan lepas.

Penduduk yang ditemui melahirkan rasa kecewa kerana kawasan tadahan air bukit yang digunakan mereka sejak 10 tahun lalu dengan mudah dimusnahkan oleh aktiviti berkenaan, menyebabkan penduduk kehilangan sumber utama mendapatkan bekalan air bersih.

Seorang penduduk, Rawi Mohd Noor, 48, berkata pembinaan air tadahan bukit itu dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk di dua kampung berkenaan pada 2005 membabitkan peruntukan kerajaan sebanyak RM83,000.

"Akibat daripada aktiviti pembalakan dan perladangan itu menyebabkan air bukit terbabit tercemar hingga berbau busuk, keruh dan berkeladak," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Sabtu.

Katanya penduduk bimbang berdepan risiko pelbagai penyakit apabila menggunakan air tadahan bukit yang terletak kira-kira enam kilometer dari perkampungan itu selepas ia terdedah dengan pencemaran.

"Sepatutnya pihak pemaju meneliti dahulu kawasan sekitar sebelum melaksanakan apa-apa aktiviti membabitkan pertanian atau perladangan bagi kawasan tadahan air tersebut tidak tercemar dan seterusnya mengganggu kesihatan penduduk," kata Rawi.

Mazlan Mohamad, 47, berkata penduduk di dua kampung berkenaan kini dilanda resah kerana tidak mempunya sumber air terawat yang boleh digunakan untuk memasak, mandi dan membasuh pakaian.

"Kalau perkara ini berterusan (pembalakan dan perladangan) di mana lagi kami nak mencari sumber air baharu. Kami juga tiada wang untuk membina kawasan tadahan air yang baharu," katanya.

Sementara itu, Harun Che Tengah, 52, pula bimbang dengan kesihatan anggota keluarganya apabila terpaksa menggunakan air tadahan bukit yang tercemar.

"Berikutan masalah itu, penduduk sudah tidak sanggup menggunakan air tandahan bukit terbabit dan terpaksa memunggah air dari sungai untuk keperluan harian," katanya.

Sumber: Bernama | 6 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan