Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 28 Jun 2015

Penjenayah kejam ‘Nuar Ayam’ tumpas

Nuar Ayam (dua, kiri) dikawal ketat polis ketika dibawa mengambil perintah reman di Mahkamah Majistret Bachok, semalam.
KOTA BHARU: Ketua kumpulan penjenayah paling dikehendaki polis, 'Nuar Ayam' akhirnya tumpas ditahan dalam satu serbuan Unit Task Force Bukit Aman, di kediamannya di Taman Mewah, Kajang, Selangor, pagi kelmarin.

'Nuar Ayam' atau nama sebenarnya Anuar Mohamad, 37, ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap 23 kesalahan jenayah yang dipercayai dilakukan lelaki itu di Selangor dan Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis negeri ini untuk siasatan lanjut dan tiba di sini, kiri-kira jam 1.30 pagi.

Katanya, rentetan daripada tangkapan itu juga pihaknya berjaya menemui senjata api jenis Pistol berjenama Sig Sauer bernombor siri 124061 berisi tiga peluru milik suspek yang dipercayai digunakan dalam beberapa siri jenayah samun, pemerasan dan rogol serta melepaskan tembakan.

“Suspek mendedahkan pistol tersebut disimpan di sebuah rumah di Besut, Terengganu dan serbuan yang dijalankan pada jam 4.30 petang semalam berjaya menahan dua lelaki iaitu seorang daripadanya bekas polis dari Kuala Lumpur yang berusia 43 di dalam rumah berkenaan.

“Seorang lagi berusia 47 tahun berasal dari Besut. Kedua-duanya adalah ahli kumpulan geng itu yang berselindung di sebalik ternakan lembu di kampung berkenaan, sementara pistol tersebut pula dijumpai di sebuah rumah kosong yang lain di kawasan sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek aktif melakukan jenayah samun sejak 2012 lalu di kedua-dua negeri terbabit dan lebih aktif lagi melakukan jenayah di kawasan kelahirannya di Bachok.

“Suspek kerap merompak di daerah itu kerana lebih tahu dan arif berhubung selok-belok jalan di kampung itu. Apabila dia melakukan jenayah, dia mudah untuk meloloskan diri kerana tahu jalan-jalan untuk berbuat demikian,” katanya.

Mazlan berkata, mereka dikenakan perintah reman selama seminggu sehingga 1 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api 1960.

Pihak polis juga masih memburu dua lagi saki baki ahli geng berkenaan dan kejayaan ini dapat menyelesaikan kebanyakan kes samun yang berlaku di negeri ini.

Sebelum ini, fotofit 'Nuar Ayam' beberapa kali diedarkan pihak polis dalam usaha menjejaki penjenayah licik tersebut. Antara kejadian dipercayai membabitkan suspek termasuk kes tembak mati pemilik premis peralatan binaan, Mustafa Siddiq, 52, yang disamun di Beris Lalang, 16 Februari lalu.

Anak mangsa, Ainul Wahida, 18, turut cedera terkena tembakan di paha.

Selainnya, suspek juga dipercayai dalang kepada beberapa siri rompakan van rokok di Kampung Repek, Bakat dan Mujur, Bachok.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan