Khemah penempatan sementara mangsa banjir di Bandar Utama tidak terurus dan terbiar kotor sejak lima bulan lepas. Foto: Bernama |
JELI: Kesemua 43 keluarga mangsa banjir yang tinggal di khemah di penempatan sementara Bandar Utama Gua Musang, akan dipindahkan segera ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemindahan secara berperingkat itu sedang dilakukan dan dijangka mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kem PLKN itu.
"Mereka akan tinggal di kem berkenaan sehingga rumah kekal yang sedang dibina kerajaan siap tidak lama lagi", katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Parlimen Jeli di sini, malam tadi.
Mangsa ditempatkan sementara di khemah yang disediakan kerajaan sejak bencana banjir memusnahkan rumah mereka Disember lepas.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata Unit Pemulihan Pasca Banjir Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menguruskan pemindahan mangsa banjir itu ke kem PLKN berkenaan.
Beliau berkata kerajaan akan menyediakan beberapa kemudahan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di kem PLKN itu termasuk bas untuk membawa anak-anak mereka ke sekolah.
Sumber: Bernama | 20 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan