Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 18 Jun 2015

15 mak nyah termasuk Kajol ditahan ketika leka berparti


Sebahagian daripada 15 mak nyah yang ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) ketika leka berparti di Kota Bharu, malam semalam.
KOTA BHARU: Seramai 15 orang mak nyah termasuk seorang penyanyi dikir barat tersohor Kelantan yang dikenali sebagai Kajol ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) ketika leka berparti di sebuah hotel, malam tadi.

Dalam operasi pada kira-kira pukul 10.45 malam itu, kesemua lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an itu ditahan ketika meraikan hari jadi seorang rakan mereka di tingkat dua hotel tersebut.

Difahamkan, penganjur majlis telah menyewa kawasan kolam renang hotel itu dengan bayaran sebanyak RM1,000 sebelum diserbu JHEAIK dengan bantuan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Dengan mengenakan mekap tebal, berbaju kurung moden selain memakai gaun labuh mereka mengadakan sesi karaoke dengan bunyi bising muzik boleh didengari sehingga ke luar hotel.

Seorang daripada mereka men­dak­wa, pihak hotel sudah memberi jaminan bahawa parti tersebut tidak akan diganggu oleh pihak berkuasa selain ada yang menggunakan alasan mengenali seorang pegawai kanan polis negeri ini bagi melepaskan diri.

Difahamkan Kajol sebelum ini telah ditahan beberapa kali atas kesalahan yang sama.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah negeri, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, mereka ditahan selepas melakukan kesalahan dengan berpakaian menyerupai wanita.

“Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985. Kesemua mereka akan dibawa ke pejabat JHEAIK di Balai Islam Lundang untuk diambil ke­terangan,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Mohd. Fadzuli berkata, terdapat sebilangan daripada mereka itu pernah ditahan sebelum ini kerana melakukan kesalahan sama.

“Ini merupakan kes pertama terhadap golongan tersebut di nege­ri yang ditahan semasa berparti sepanjang tahun ini.

“Kita dapati mereka ini tidak pernah serik walau pernah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sebelum itu, suasana kecoh berlaku apabila terdapat mak nyah terbabit memarahi dengan kata-kata kesat selain menunjukkan isyarat lucah kepada petugas media yang merakamkan gambar mereka.

Sumber: Utusan Malaysia | Jenayah | 17 Jun 2015 | Terbitan 18 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan