Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 2 Jun 2015

Kerajaan Persekutuan setuju beli tanah bina rumah kekal di Gua Musang - Makhtar

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan bersetuju membeli tanah di Gua Musang bagi membina rumah kekal mangsa banjir di daerah itu dalam masa terdekat, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan bagaimanapun belum memutuskan keluasan tanah yang akan dibeli itu, namun ia mampu memuatkan sebanyak 100 buah rumah kekal dan akan dibina menerusi beberapa fasa.

"Masalah (tanah) dalam tindakan kerajaan negeri dan mereka telah berusaha menyediakan keperluan itu.

"Bagi kawasan (jajahan) lain, kita masih meneliti dan menilai kerana kebanyakan tanah perseorangan dijual dengan harga yang tinggi sedangkan kita mahu beli mengikut harga pasaran semasa," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Minggu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Kelantan 2015 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Isham Ishak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Abdul Aziz Abdul Latif.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mustapha berkata usahawan Kelantan diharap dapat memanfaatkan peluang mengembangkan perniagaan melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan aktiviti Minggu PKS di negeri itu.

"Adalah menjadi harapan agar program ini membantu pengusaha PKS mewujudkan rantaian perniagaan lebih kukuh serta meneroka peluang pasaran dan pelaburan yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata seramai 146 pemohon dalam kalangan PKS di negeri ini telah mendapat manfaat daripada Skim Pinjaman Mudah dengan nilai pinjaman RM115.4 juta bagi memperkasakan usahawan PKS.

Selain itu, katanya SME Corp juga telah meluluskan 69 pemohonan di negeri itu dengan nilai geran berjumlah RM7.9 juta menerusi Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) sejak 2010.

Minggu PKS adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan di seluruh negara pada bulan Jun setiap tahun bagi membangunkan PKS.

Sumber: Bernama | 2 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan