Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 5 Jun 2015

Tiada aktiviti mencurigakan dikesan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan

KOTA BHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) belum mengesan sebarang aktiviti mencurigakan seperti penempatan haram di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, terutama di jajahan Jeli yang mempunyai hutan tebal.

Panglima Briged Kelapan Infantri Brig Jen Datuk Azmy Yahya berkata rondaan yang dilakukan oleh pihaknya di kawasan sempadan berkenaan belum menemui wujudnya sebarang penempatan haram yang dijadikan kem transit bagi menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kita akan ambil tindakan dan laporkan kepada pihak yang berkaitan jika dapat mengesan cubaan untuk mewujudkan penempatan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Banjir kepada Anak Anggota Tentera di Kem Desa Pahlawan di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Datuk Umi Kalsom Wan Awang dan Pengerusi Bakat 8 Briged Datin Norma Ramli.

Pada majlis itu, sejumlah 949 anak anggota tentera yang terjejas banjir dari Kelantan dan Terengganu menerima bantuan wang tunai daripada Bakat.

Azmy berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana keadaan di sempadan negara ketika ini masih terkawal.

"Kita tidak mahu sempadan negara dibolosi, oleh itu kita adakan rondaan serta kawalan setiap hari dan kita juga mempunyai beberapa pos tetap di sempadan.

"Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada aktiviti penyeludupan serta cubaan mewujudkan penempatan (haram) di kawasan hutan di negeri ini," katanya.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Sumber: Bernama | 5 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan