Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 4 Jun 2015

Dua lelaki nyaris maut kereta terjunam ke dalam Sungai Nenggiri

GUA MUSANG: Dua lelaki nyaris maut apabila kereta Myvi yang dinaiki mereka tersalah laluan melalui jambatan lama yang runtuh sebelum terjunam ke dalam Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu di sini, lewat Rabu malam.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan pemandu kereta Wan Mohd Adil Wan Zaki, 32, cedera di mulut dan bahu kanan manakala penumpang Daiman Mamat, 46, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku di Km 28 Jalan Gua Musang-Jeli berhampiran Kampung Pulau Setelu ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang untuk pulang ke kampung mereka di Terengganu.

Beliau berkata pemandu kereta berkenaan tersilap laluan melalui jambatan lama yang berketinggian kira-kira 40 meter yang runtuh ketika banjir Disember tahun lepas, menyebabkan kereta yang dinaiki mereka 'terbang' sebelum terjunam ke dalam sungai itu.

"Kedua-dua mangsa bagaimanapun diselamatkan penduduk dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata kemalangan itu berlaku kerana pemandu tidak biasa melalui jalan berkenaan dan tidak menyedari sebuah jambatan sementara telah siap dibina yang terletak bersebelahan dengan jambatan lama yang runtuh itu.

Sementara itu, seorang saksi, Nor Hashim Mohamad, 35, ketika ditemui di tempat kejadian berkata beliau turut membantu dua mangsa yang terperangkap dalam kereta yang terhumban ke dalam sungai berkenaan.

Nor Hashim berkata sebelum itu beliau mendapat tahu daripada sepasang suami isteri warga emas yang tinggal berdekatan sungai tersebut yang terdengar jeritan orang meminta tolong.

"Sebaik mendapat maklum mengenai perkara itu, saya terus bergegas ke tempat kejadian dan membantu mengeluarkan mereka berdua menggunakan bot untuk ke tebing sungai," katanya.

"Saya juga terpaksa menambat kereta mangsa dengan tali bagi mengelakkan kenderaan itu dihanyut arus deras," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan