Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 15 Jun 2015

Sebahagian besar projek Lebuh Raya Rakyat dilaksana Kerajaan Persekutuan - Exco

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyerahkan tanggungjawab pembinaan sebahagian besar laluan projek Lebuh Raya Rakyat Machang - Kuala Krai kepada Kerajaan Persekutuan berikutan kekangan pembiayaan, persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata persetujuan itu dicapai selepas beberapa perbincangan antara kerajaan negeri dengan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

"Daripada perbincangan berkenaan kita bersetuju menyerahkan pembinaan sepanjang 20.5 kilometer kepada kerajaan persekutuan yang mempunyai lebih keupayaan untuk membiayainya.

"Sementara kerajaan negeri kekal meneruskan kerja-kerja pembinaan lebuh raya sepanjang 10 kilometer bermula daripada Bukit Tiu, Machang ke Berangan Mek Nab (Machang) yang sedang dalam proses pembinaan," katanya.

Hanifa berkata demikian ketika menjawab soalan Roseli Ismail (PAS-Kemuning) yang ingin mengetahui perkembangan pembinaan Lebuh Raya Rakyat sepanjang 30.5km dari Machang ke Kuala Krai.

Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang mencelah berkata persetujuan tersebut menunjukkan Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia membantu Kerajaan Negeri Kelantan.

"Ia hasil keterbukaan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dan keterbukaan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), maka terjalin hubungan kerjasama yang baik sehingga membolehkan lebuh raya sebesar itu dibina bersama," katanya.

Sementara itu, persidangan DUN hari ini turut meluluskan cadangan bagi pelantikan Khairiah Mohamed sebagai anggota Dewan Negara mewakili Kelantan untuk penggal kedua, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Khairiah, 41, dilantik sebagai senator bagi penggal pertama pada Julai 2012.

Terdahulu, Ahmad Fathan Mahmood mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka yang baharu di hadapan Speaker DUN Datuk Abdullah Ya'kub.

Sumber: Bernama | 15 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan