Nik Abduh (tengah) diapit timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi (kanan) dan Naib Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin (kiri) selepas diumumkan keputusan pemilihan peringkat sayap itu, Rabu. |
SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS Pusat yang baharu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kemenangan bukan perkara utama, sebaliknya lebih mementingkan amanah dan perjuangan dalam parti.
Nik Abduh berkata, selepas dipilih menjadi pemimpin baharu kepada sayap parti, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah menyatupadukan anggota Pemuda di seluruh negara.
Anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, telah banyak yang dipelajarinya sepanjang melibatkan diri dalam politik, termasuk menerima kekalahan.
“Ia satu amanah dan saya akan memikulnya dengan izin Allah.“Saya taklah gembira dengan kemenangan ini, saya belajar berjuang dalam politik dan dapat banyak pengajaran dan pengajaran terbaik ketika saya kalah kepada Abdul Latiff Abdul Rahman semasa bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan pada 2009,” katanya ketika menyampaikan ucapan di hadapan perwakilan selepas diisytiharkan sebagai Ketua Pemuda PAS bagi sesi 2015-2017.
Menurut Nik Abduh lagi, untuk langkah seterusnya, beliau akan turun padang dan bertemu dengan anggota di setiap negeri dalam masa terdekat.
Tenang ketika menyampaikan ucapannya, beliau bagaimanapun sempat menyatakan rasa kurang senangnya apabila kemenangannya disambut dengan sorakan gemuruh, manakala yang kalah dilemparkan dengan kata-kata kurang enak didengar.
“Saya agak tak selesa bila diumum menang mereka sorak kuat sangat, yang kalah ada kata-kata tak manis sebagai balasan, bukan kita yang perlu membalas, biarlah Allah yang membalas,” katanya.
Katanya, beliau tidak menganggap mereka yang mendapat undi banyak sebagai pemenang tetapi orang yang dianggap pemenang sebenar adalah orang yang ikhlas dalam perjuangannya.
Sumber: mStar Online | 3 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan