Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 7 Jun 2015

Kerajaan pusat, negeri, NGO kerjasama bina rumah mangsa banjir di Kelantan

Mustapa Mohamed
KUALA KRAI: Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menjalin kerjasama untuk membina 130 unit rumah kekal bagi mangsa banjir di Kampung Telekong di sini. 

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata fasa pertama pembinaan melibatkan 20 unit rumah yang dijangka siap pada September depan.

"Ia satu kerjasama yang unik kerana kita (Kerajaan Persekutuan) memperuntukkan RM3.9 juta bagi pembinaan infrastruktur seperti longkang dan jalan, dan kerajaan negeri pula menyediakan tanah seluas 12 hektar.

"NGO iaitu Pusat Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM10 juta untuk pembinaan 100 unit rumah dan Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin pula membelanjakan RM2 juta bagi pembinaan 30 unit rumah," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah di Kampung Telekong hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Mustapa turut merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Kekal kepada tiga keluarga di Kampung Dusun Nyior, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata lapan lokasi lain telah dikenal pasti bagi pembinaan rumah kekal iaitu di Kota Baharu; Chenulang dan Dabong di Kuala Krai; Simpang Tiga Pulai, Bertam Baharu, Tanah Putih, Limau Kasturi dan Lebir di Gua Musang.

"Ia akan menggunakan pendekatan sama seperti pembinaan rumah kekal di Kampung Telekong ini," katanya sambil menambah kerajaan Persekutuan menyiapkan 12 unit rumah dan 422 masih dalam pembinaan.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata mangsa banjir yang tidak memiliki tanah tidak akan diberikan hak milik kekal mendiami rumah yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengelakkan rumah berkenaan daripada dijual ataupun disewakan kepada orang lain.

"Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memberi hak milik kekal kepada mangsa banjir selepas mereka tinggal selama 10 tahun di kawasan terbabit," katanya. 

Sumber: Bernama | 7 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan