Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 19 Jun 2015

MT Orkim Harmony: Mangsa cedera dibawa ke HUSM dengan helikopter

Keadaan terkini kapal MT Orkim Harmony yang yang dipadam namanya menjadi Kim Harmon ditemui pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia ketika melakukan rondaan mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang.  Foto: Twitter @ChiefofNavy.
KUALA LUMPUR: Tukang masak kapal tangki MT Orkim Harmony, yang cedera ditembak perampas, telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu 21 lagi kru kapal berkenaan perlu berada di atas kapal berkenaan untuk mengemudi kapal berkenaan ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata kru warga Indonesia yang cedera di paha kiri terbabit diterbangkan ke HUSM Kubang Kerian menggunakan helikopter.

"Beliau telahpun tiba di sana kira-kira pukul 10.15 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Kesemua 22 kru itu berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini menerusi rundingan TLDM dengan perampas kapal berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, baki kru kapal berkenaan sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Kuantan diiringi KD Handalan.

Kapal berkenaan dijangka tiba kira-kira pukul 2 pagi esok (20 Jun), katanya. "Mereka semua diperlukan, sebab operasi kapal memerlukan kepakaran mereka, bukan semua orang boleh membawa kapal yang sama. Berdasarkan kelajuan mereka yang terhad ... mungkin mereka boleh sampai lebih awal," katanya.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd, ia membawa 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
 
Sumber: Bernama | 19 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan